Dalam sebuah dokudrama pada tahun 2020, The Social Dilemma, pakar-pakar teknologi mendedahkan bagaimana media sosial direka supaya penggunanya ketagih. Lalu, ketagihan manusia diperdagangkan untuk kepentingan pihak tertentu. Begitu juga dengan The Great Hack pada tahun 2019, bagaimana data berjuta-juta pengguna digunakan untuk menghantar iklan politik yang sangat spesifik bagi mengubah keputusan undi. DOSM mendedahkan, 98.3% rakyat Malaysia dapat mengakses internet. 99.7% daripadanya pula aktif di platform media sosial. Setiap hari, kita melihat permusuhan berlaku dengan sangat ketara. Rakyat saling benci-membenci dan tuduh-menuduh pada isu picisan dan bukan isu tunjang. Siapa yang mencucuh api permusuhan ini? Masih relevankah isu sentimen perkauman pada ketika rakyat masih bergelut dengan peluang pekerjaan, isu air bersih, isu pemilikan rumah, kos pendidikan dan kesihatan yang belum diselesaikan? Dalam demokrasi, pemikiran rakyat adalah aset yang paling mahal, tetapi sering dijual beli dengan nilai lelong. Parti politik sanggup membelanjakan berjuta untuk mendapatkan undi, rakyat pula melepaskannya dengan harga yang sangat murah. Buku ini adalah provokasi terhadap cara fikir, kerana itulah satu-satunya senjata yang dimiliki oleh rakyat. Jika rakyat berfikir secara kritis, maka seluruh sistem manipulasi akan runtuh.