Adil Di Puncak Takhta: Umar Abdul Aziz
Dalam usia tidak sampai empat puluh tahun dan memerintah cuma dua tahun lima bulan, Umar bin Abdul Aziz meninggalkan jejak kepemimpinan yang terus disebut sebagai "sebaik-baik manusia pada zamannya" oleh para ulama. Beliau membentuk pemerintahannya dengan ilmu, memurnikan jiwanya dengan taubat, dan menegakkan keadilan sehingga rakyat merasai keamanan yang jarang disaksikan dalam sejarah Bani Umayyah.
Buku ini menyingkap genius sebenar Umar: bagaimana didikan
awalnya membina jiwa pemimpin, bagaimana kezuhudan memandu setiap keputusan, dan bagaimana kecerdasannya menarik manusia kepada kebenaran tanpa paksaan. Kita melihat seorang khalifah yang menolak kemewahan demi amanah, menangis kerana takutkan Hari Kiamat, mengubah dasar negara dengan hikmah, dan mendidik rakyat sedikit demi sedikit seperti menjinakkan kuda liar.
Inilah kisah seorang pemerintah yang solatnya menyerupai solat Rasulullah, ilmunya menjadi rujukan ulama, dan keadilannya menghidupkan kembali roh pemerintahan Islam.
Umar Abdul Aziz ialah potret seorang pemimpin yang menakluk dunia bukan dengan pedang, tetapi dengan takwa, akhlak dan kejernihan hati.
Kitab Perang Panglima Islam
Buku ini adalah karya yang ditulis untuk Khalifah Abbasiyyah yang bernama al-Ma’mun pada abad 9 Masihi. Menghimpunkan muslihat pertempuran, prinsip kepimpinan dan teknik pengurusan risiko yang digunakan dalam kempen besar dunia Islam.
Kitab ini adalah ringkasan daripada buku al-Harthami yang lebih tebal berjudul al-Hiyal Fi al-Hurub. Ibnu an-Nadim dalam bukunya al-Fihrist, mengatakan kitab ini dikarang dengan begitu kemas dan dibahagikan kepada dua artikel utama. Artikel pertama mengandungi tiga bahagian, sementara artikel kedua dipecahkan kepada 36 bahagian, kemudian dibahagikan lagi menjadi 1025 bab kecil.
Sayangnya, kitab al-Hiyal Fi al-Hurub yang asal tidak dapat ditemukan lagi hingga sekarang, berikutan penaklukan bangsa Mongol (Tatar) yang memusnahkan kebanyakan khazanah penulisan para ulama.
Naskhah yang berjaya diperoleh hanya manuskrip berupa ringkasan yang diusahakan oleh seorang penulis lain yang hidup sebelum 10 Masihi. Buku yang ada di tangan pembaca ini hanyalah sebahgian kecil hikmah yang berjaya diselamatkan.